Sunday 18 May 2014

SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT SEKOLAH KALI PERTAMA

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia,


16 Mei, satu tarikh penting dalam dunia pendidikan iaitu meraikan para guru Malaysia sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam mendidik anak bangsa. Untuk pertama kalinya, SK Desa Pinggiran Putra mengadakan Sambutan Hari Guru peringkat sekolah dengan tema Guru : Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi. Tema Hari Guru amat bertepatan dengan era pendidikan hari ini. Antara isi penting dalam perutusan Menteri Pendidikan , YAB Tan Sri Dato' Hj Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin : 
Ini adalah amat penting memandangkan negara kita sedang menuju era negara maju di mana ekonomi negara kita perlu dipacu oleh daya inovasi rakyat. Untuk menghadapi persaingan global yang semakin sengit dalam persekitaran ekonomi yang dipacu oleh inovasi, sistem pendidikan kita sebenarnya memainkan peranan yang amat penting dalam menjana daya inovasi rakyat. Menyedari hakikat ini, kerajaan berusaha mentransformasi sistem pendidikan negara menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang memberi penekanan terhadap elemen kreativiti dan inovasi. Selaras dengan itu juga, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) telah dilaksanakan di sekolah yang merangkumi tujuh elemen iaitu kurikulum, pedagogi, pentaksiran, sumber, sokongan masyarakat, ko-kurikulum dan bina upaya guru. KBAT di bilik darjah telah diperkukuh melalui Program i-Think iaitu satu program yang membantu pihak sekolah memupuk kemahiran berfikir, menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat, mahir dalam menyelesaikan masalah dan berupaya menghasilkan jalan penyelesaian secara kreatif dalam kalangan murid.


   Majlis sambutan turut dihadiri oleh Naib Yang Dipertua PIBG, Encik Jailani bin Kadir. Sambutan dimulakan dengan perarakan masuk tetamu bersama guru penolong kanan dan guru-guru dan diiringi oleh para pengawas sekolah. Pengacara majlis bekas guru praktikum Ustaz Mohd Amin.
     Nyanyian lagu Negaraku dan Lagu Selangor berkumandang dan dinyanyikan dengan penuh semangat oleh semua warga sekolah dan kemudian bacaan doa.  Ucapan dimulakan dengan bacaan perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia oleh Encik Rosdin bin Ibrahim, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, ucapan Guru Besar yang disampaikan oleh Puan Maznah bt Mohd Noor, ucapan aluan Encik Jailani bin Kadir dan ucapan wakil murid oleh Adik Abdul Syamir Iqmal. Majlis bertambah bermakna dengan bacaan ikrar guru yang diketuai oleh Encik Rosdin bin Ibrahim serta nyanyian Guru Malaysia dan Warisan oleh para guru. 
    Majlis terus meriah dan bersemangat dengan penyampaian hadiah dari pihak PIBG dan tentunya dari murid-murid yang disayangi serta sesi memotong kek yang disumbangkan oleh ibu bapa murid Tahun 4 Marikh Adik Muhammad Danish Aiman.
    Sambutan bertambah meriah dengan penglibatan guru dalam sukaneka yang dimulakan selepas rehat. Antara sukaneka yang disertai ialah Jaringkan Gol, Boling dan Sambut Belon. Murid-murid bersorak semangat untuk semua guru. Selepas itu murid menyaksikan bakat guru dalam persembahan kumpulan guru - 3 kumpulan. Murid-murid juga turut membuat persembahan -Tahap 1 nyanyian dan lakonan, tahap 2 - Sajak Guru Oh Guru. Majlis turut diserikan dengan pertukaran hadiah antara guru-guru. Kemuncak sambutan hari guru ialah anugerah guru iaitu :
Guru Paling Aktif - Cikgu Maz Azlee
Guru Paling Ceria - Cikhu Hannah Najihah
Guru Paling Penyayang - Cikgu Zakaria
Guru Paling Popular - Cikgu Zahrulhuda

Samburan diakhiri dengan bersalaman dengan murid-murid. 

Pihak sekolah merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru, ibu bapa dan semua murid atas sambutan kali pertama ini. Semoga dunia pendidikan khasnya kepada guru terus menjadi inspirasi kepada generasi penerus bangsa. 

Berikut antara gambar kenangan sambutan hari guru :

 


                                       
          


            





               





            

      












SELAMAT HARI GURU : TERIMA KASIH CIKGU





Disediakan Oleh :
Rashidah Mahmad












No comments:

Post a Comment